Sesi Teh Tarik KSU Bersama Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional

𝐒𝐄𝐒𝐈 𝐓𝐄𝐇 𝐓𝐀𝐑𝐈𝐊 𝐊𝐒𝐔 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐏𝐄𝐆𝐀𝐖𝐀𝐈 𝐊𝐔𝐌𝐏𝐔𝐋𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐑𝐎𝐅𝐄𝐒𝐈𝐎𝐍𝐀𝐋 | 𝟏𝟗 𝐉𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐌𝐄𝐍𝐀𝐑𝐀 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) telah menganjurkan Sesi Teh Tarik KSU Bersama Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional pada hari ini bertempat di Dewan Baiduri, Menara PETRA.
Menerusi amanatnya, YBhg. Dato' Sri Haji Mad Zaidi Bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA telah mengingatkan berhubung pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) sebagai sebahagian daripada pendekatan moden dalam pengurusan organisasi yang berasaskan kepercayaan, akauntabiliti dan pencapaian hasil kerja. Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai kepentingan pembangunan bakat dan pengurusan sumber manusia yang strategik menerusi pelaksanaan job rotation. Sesi dialog juga telah diadakan bagi membolehkan para pegawai melontarkan pandangan dan bertukar-tukar idea untuk memperkukuh kecemerlangan organisasi pada masa hadapan.
Dalam sesi tersebut turut diadakan Majlis Anugerah Pementoran Kepimpinan PETRA 2025. Seramai 8 orang mentor yang terdiri daripada pegawai Pengurusan Tertinggi, Gred Utama B dan C serta 18 orang menti yang terdiri daripada pegawai kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 12 hingga 14 telah menerima sijil penyertaan. Turut diumumkan ialah Anugerah Mentor Terbaik, Anugerah Menti Terbaik dan Anugerah Pasangan Mentor dan Menti Terbaik. Tahniah diucapkan kepada semua peserta yang terlibat dalam Program Pementoran Kepimpinan PETRA 2025.
Semoga sesi yang dianjurkan ini menjadi wadah yang membolehkan kita saling memahami aspirasi, menelusuri cabaran semasa dan mengeratkan hubungan antara kepimpinan tertinggi organisasi dengan para pegawai.