Program Jelajah Psikologi2u Ke JPS

𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐉𝐄𝐋𝐀𝐉𝐀𝐇 𝐏𝐒𝐈𝐊𝐎𝐋𝐎𝐆𝐈𝟐𝐔 𝐒𝐈𝐑𝐈 𝟒 - 𝐉𝐀𝐁𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐀𝐈𝐑𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐀𝐋𝐈𝐑𝐀𝐍 (𝐉𝐏𝐒) | 𝟑𝟎 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐉𝐀𝐁𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐀𝐈𝐑𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐒𝐀𝐋𝐈𝐑𝐀𝐍 𝐂𝐘𝐁𝐄𝐑𝐉𝐀𝐘𝐀, 𝐒𝐄𝐋𝐀𝐍𝐆𝐎𝐑
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) telah mengadakan Program Jelajah Psikologi2u pada 30 September 2026 bertempat di Bilik Latihan HTC Kuala Lumpur, Aras 5, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Cyberjaya. Program ini disertai seramai 45 orang yang terdiri daripada pegawai-pegawai JPS seluruh Malaysia. Program ini dikendalikan oleh Puan Siti Nur Ain binti Md. Johari, Pegawai Psikologi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, PETRA.
Tujuan pelaksanaan inisiatif Program Jelajah Psikologi2U PETRA Tahun 2026 ini ialah untuk memaksimumkan penyampaian perkhidmatan psikologi kepada seluruh warga PETRA yang meliputi aspek penilaian personel, intervensi dan pembangunan personal. Sasaran utama pelaksanaan Program Jelajah Psikologi2U ini ialah untuk membuang stigma negatif dan memberikan naratif positif berkaitan perkhidmatan psikologi dan kaunseling kepada warga kerja PETRA.
Melalui aktiviti – aktiviti yang dilaksanakan, program ini dijangka dapat meningkatkan kesejahteraan mental dengan membantu pegawai mengurus stress, perubahan set minda dan cabaran psikologi di tempat kerja. Ia juga merupakan suatu program sokongan kerjaya yang berterusan dengan kandungan program bersifat inklusif di mana modul yang disediakan relevan untuk semua peringkat perkhidmatan bermula daripada pegawai yang baru dilantik sehingga kepada mereka yang bakal bersara.
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua peserta kerana telah menamatkan program dengan jayanya. Semoga ilmu yang telah diperoleh dapat dimanfaatkan untuk kementerian, perkhidmatan awam dan negara.