Pembentangan Belanjawan 2027

𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐍𝐓𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐁𝐄𝐋𝐀𝐍𝐉𝐀𝐖𝐀𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟕 | 𝟗 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐏𝐀𝐑𝐋𝐈𝐌𝐄𝐍
YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bersama delegasi PETRA telah hadir pada sesi Pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, Kuala Lumpur.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyambut baik Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” yang memperuntukkan RM5.33 bilion kepada PETRA demi memperkukuh keterjaminan infrastruktur air dan keberlanjutan tenaga demi kesejahteraan rakyat di seluruh negara.
Dalam usaha mendepani cabaran bekalan air dan risiko bencana, PETRA komited melaksanakan Program Pengurangan Air Tidak Terhasil (NRW) Fasa 2 bernilai RM2.5 bilion bagi menggantikan 1,900 kilometer paip usang, di samping RM2.5 bilion untuk 154 projek tebatan banjir termasuk RTB Bandaraya Kuching Fasa 2, PLSB Sungai Golok Fasa 2 dan PLSB Sungai Kemaman.
Keterjaminan sumber air turut diperkasakan menerusi pembinaan Empangan Lebir di Kelantan, Perjanjian Bekalan Air Pukal Perak-Pulau Pinang, serta RM352 juta bagi menaik taraf infrastruktur pembetungan dan pembersihan air di pulau-pulau peranginan.
Bagi sektor tenaga dan kelestarian alam, Kerajaan MADANI memperluas aras perlindungan bil elektrik kepada 800 kWh sebulan yang memberi manfaat kepada 90 peratus pengguna domestik. Inisiatif kecekapan tenaga terus digalakkan menerusi rebat Program NUR MADANI, pelaburan RM1.5 bilion bagi taman solar bangunan kerajaan, peruntukan LSS6 untuk Bumiputera, serta pengukuhan Grid Nasional oleh TNB dan kerjasama ASEAN Power Grid.
Wilayah Sabah dan Sarawak terus diberi keutamaan khusus menerusi peruntukan RM18.7 bilion bagi Sabah dan RM16.2 bilion bagi Sarawak. Dalam aspek tenaga di Sabah, Kerajaan Persekutuan menyediakan RM600 juta bagi sokongan bekalan elektrik, pemasangan Sistem Statcom bernilai RM204 juta di Pencawang Masuk Utama Dam Road dan Segaliud, serta penerusan projek Talian Penghantaran Southern Link. Manakala bagi Sarawak, kelangsungan keterjaminan air diperkukuh menerusi pelaksanaan RTB Bandaraya Kuching Fasa 2 serta sokongan pembangunan infrastruktur asas yang seimbang.
PETRA komited untuk memastikan setiap peruntukan dan inisiatif Belanjawan 2027 diterjemahkan kepada perkhidmatan air dan tenaga yang berdaya tahan, cekap, dan inklusif demi kestabilan ekonomi serta kehidupan rakyat yang lebih selesa.