Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Tenaga ASEAN

𝐌𝐄𝐒𝐘𝐔𝐀𝐑𝐀𝐓 𝐊𝐇𝐀𝐒 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈-𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐓𝐄𝐍𝐀𝐆𝐀 𝐀𝐒𝐄𝐀𝐍 | 𝟐𝟕 𝐀𝐏𝐑𝐈𝐋 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐌𝐄𝐍𝐀𝐑𝐀 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀, 𝐏𝐔𝐓𝐑𝐀𝐉𝐀𝐘𝐀
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang diketuai oleh YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, hari ini mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Tenaga ASEAN secara dalam talian. Mesyuarat tersebut bertujuan membincangkan impak krisis Asia Barat terhadap keselamatan tenaga serantau.
Dalam mesyuarat tersebut, Malaysia berkongsi inisiatif domestik seperti rasionalisasi subsidi, waktu bekerja fleksibel, dan amalan kecekapan tenaga sebagai langkah pengukuhan nasional. Malaysia turut menyatakan sokongan penuh terhadap penyelarasan tindak balas strategik ASEAN dan memperkukuh kerjasama teknikal bagi mendepani ketidaktentuan geopolitik global.
Kementerian turut menekankan kepentingan mempercepatkan aspirasi Grid Tenaga ASEAN (APG) demi menjamin ketahanan bekalan. Kerjasama erat antara negara anggota adalah kritikal bagi memastikan visi tenaga serantau kekal selari dan utuh dalam mendepani cabaran semasa.
Turut hadir dalam mesyuarat ini adalah YBhg. Dato' Sri Haji Mad Zaidi Bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA, Setiausaha-Setiausaha Bahagian PETRA serta Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian dan Jabatan/Agensi.