Mesyuarat Kesiapsiagaan Aset JPS Menghadapi Banjir MTL 2026/2027

𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐉𝐏𝐒 𝐓𝐄𝐑𝐔𝐒 𝐏𝐀𝐍𝐓𝐀𝐔 𝐊𝐄𝐒𝐈𝐀𝐏𝐒𝐈𝐀𝐆𝐀𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐃𝐀𝐏𝐈 𝐌𝐎𝐍𝐒𝐔𝐍 𝐓𝐈𝐌𝐔𝐑 𝐋𝐀𝐔𝐓 𝟐𝟎𝟐𝟔/𝟐𝟎𝟐𝟕 𝐃𝐄𝐌𝐈 𝐊𝐄𝐒𝐄𝐉𝐀𝐇𝐓𝐄𝐑𝐀𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐒𝐄𝐋𝐀𝐌𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐊𝐘𝐀𝐓 | 𝟓 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐀𝐘𝐄𝐑 𝐊𝐄𝐑𝐎𝐇, 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐀
Menjelang Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang dijangka meningkatkan risiko banjir di beberapa kawasan negara, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terus memantau dan memastikan kesiapsiagaan peralatan, jentera serta pasukan operasi yang telah disediakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir.
Usaha pemantauan dan penyelarasan berterusan ini diperkukuh melalui 𝐌𝐞𝐬𝐲𝐮𝐚𝐫𝐚𝐭 𝐊𝐞𝐬𝐢𝐚𝐩𝐬𝐢𝐚𝐠𝐚𝐚𝐧 𝐀𝐬𝐞𝐭 𝐉𝐏𝐒 𝐌𝐞𝐧𝐠𝐡𝐚𝐝𝐚𝐩𝐢 𝐁𝐚𝐧𝐣𝐢𝐫 𝐌𝐓𝐋 𝟐𝟎𝟐𝟔/𝟐𝟎𝟐𝟕 yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Mohd Norhisham bin Musa, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), PETRA, dengan kehadiran Pengarah Bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal, YBrs. Ir. Ts. Hajah Hapida binti Hj. Ghazali dan YBrs. Ir. Haji Mohd Adnan bin Ahmad Fauzi serta wakil-wakil JPS Negeri, bertempat di JPS Melaka, Ayer Keroh.
Sebanyak 𝟓𝟖𝟎 𝐮𝐧𝐢𝐭 𝐩𝐚𝐦 𝐚𝐢𝐫 𝐤𝐞𝐜𝐞𝐦𝐚𝐬𝐚𝐧 tersedia di seluruh negara, dengan 𝟑𝟔𝟔 𝐮𝐧𝐢𝐭 𝐭𝐞𝐥𝐚𝐡 𝐝𝐢𝐭𝐞𝐦𝐩𝐚𝐭𝐤𝐚𝐧 𝐝𝐢 𝐥𝐚𝐩𝐚𝐧𝐠𝐚𝐧 manakala 𝟐𝟏𝟒 𝐮𝐧𝐢𝐭 𝐥𝐚𝐠𝐢 𝐬𝐢𝐚𝐩 𝐬𝐢𝐚𝐠𝐚 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐝𝐢𝐠𝐞𝐫𝐚𝐤𝐤𝐚𝐧 mengikut keperluan. Kesiapsiagaan ini turut disokong oleh kenderaan, jentera, sistem kawalan air serta pemantauan kawasan berisiko dan sistem ramalan serta amaran awal banjir.
Pemantauan berterusan ini penting bagi memastikan segala persediaan yang telah dilaksanakan kekal pada tahap optimum, sekali gus membolehkan tindakan pantas dan berkesan diambil bagi mengurangkan kesan banjir serta melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Orang ramai turut digalakkan menggunakan aplikasi 𝐏𝐮𝐛𝐥𝐢𝐜 𝐈𝐧𝐟𝐨𝐁𝐚𝐧𝐣𝐢𝐫 bagi mendapatkan maklumat terkini paras air sungai, taburan hujan dan amaran banjir supaya langkah berjaga-jaga dapat diambil lebih awal.
PETRA dan JPS sentiasa bersiap siaga. Kesejahteraan dan keselamatan rakyat kekal menjadi keutamaan.