Majlis Perasmian Santong Battery Energy Storage System (BESS) 100MW/400MWj di Dungun, Terengganu

𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐌𝐈𝐀𝐍 𝐒𝐀𝐍𝐓𝐎𝐍𝐆 𝐁𝐀𝐓𝐓𝐄𝐑𝐘 𝐄𝐍𝐄𝐑𝐆𝐘 𝐒𝐓𝐎𝐑𝐀𝐆𝐄 𝐒𝐘𝐒𝐓𝐄𝐌 (𝐁𝐄𝐒𝐒) 𝟏𝟎𝟎𝐌𝐖/𝟒𝟎𝟎𝐌𝐖𝐇 | 𝟏𝟖 𝐌𝐄𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐃𝐔𝐍𝐆𝐔𝐍, 𝐓𝐄𝐑𝐄𝐍𝐆𝐆𝐀𝐍𝐔
YAB Datuk Amar Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Santong Battery Energy Storage System (BESS) 100MW/400MWj di Dungun, Terengganu. Projek berimpak tinggi yang dibangunkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini merupakan antara sistem penyimpanan tenaga bateri utiliti berskala besar terawal di Malaysia. Ia bertindak sebagai 'bank tenaga pintar' pertama negara yang dilengkapi teknologi 𝘨𝘳𝘪𝘥-𝘧𝘰𝘳𝘮𝘪𝘯𝘨 untuk memastikan kestabilan dan kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik domestik.
Teknologi BESS ini berfungsi sebagai "power bank" berskala besar yang menyimpan lebihan tenaga elektrik dan melepaskannya semula apabila diperlukan, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan. Langkah ini sangat kritikal untuk menangani cabaran ketidaktentuan (𝘪𝘯𝘵𝘦𝘳𝘮𝘪𝘵𝘵𝘦𝘯𝘤𝘺) sumber solar, sekali gus menyokong aspirasi negara mencapai sasaran 70% kapasiti terpasang tenaga boleh baharu menjelang tahun 2050. Selain itu, projek ini memberi impak langsung kepada rakyat dengan keupayaan menyokong keperluan elektrik bersamaan kira-kira 40,000 isi rumah, khususnya di Pantai Timur.
Majlis bersejarah ini turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi PETRA, kerajaan negeri Terengganu, TNB, Suruhanjaya Tenaga, dan SEDA. Selari dengan teras Malaysia MADANI, PETRA komited memperkukuh keselamatan tenaga negara dan memacu ekonomi rendah karbon melalui kerjasama mampan bersama pemain industri. Syabas diucapkan kepada TNB dan semua pihak atas komitmen luar biasa dalam merealisasikan agenda peralihan tenaga negara!