Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Loji Janakuasa 120MW Baharu di Labuan

𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐂𝐀𝐇 𝐓𝐀𝐍𝐀𝐇 𝐃𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐍𝐂𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐋𝐎𝐉𝐈 𝐉𝐀𝐍𝐀𝐊𝐔𝐀𝐒𝐀 𝟏𝟐𝟎𝐌𝐖 𝐁𝐀𝐇𝐀𝐑𝐔 | 𝟐𝟕 𝐉𝐀𝐍𝐔𝐀𝐑𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐋𝐀𝐁𝐔𝐀𝐍
YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Projek Loji Janakuasa 120MW di Kawasan Perindustrian Rancha-Rancha, Wilayah Persekutuan Labuan pada hari ini. Majlis ini turut dihadiri oleh YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), YB Datuk Lo Su Fui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YBhg. Dato' Sri Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA, YB Datuk Indera Dr. Suhaili bin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Labuan, serta barisan kepimpinan industri yang lain.
Pembangunan loji janakuasa baharu ini merupakan penzahiran komitmen utuh Kerajaan Persekutuan dalam memastikan keselamatan tenaga dan kebolehpercayaan sistem bekalan elektrik di Labuan melalui pendekatan "𝘵𝘳𝘢𝘯𝘴𝘪𝘵𝘪𝘰𝘯, 𝘯𝘰𝘵 𝘥𝘪𝘴𝘳𝘶𝘱𝘵𝘪𝘰𝘯". Projek yang diterajui oleh syarikat usaha sama strategik Rancha Power Sdn. Bhd. ini akan menggantikan aset janakuasa sedia ada yang telah beroperasi sejak awal 1980-an, sekali gus menjadi infrastruktur peralihan penting untuk menyokong peningkatan permintaan tenaga bagi aktiviti industri dan komuniti setempat.
Selain berfungsi sebagai pemangkin ekonomi dan pusat kewangan antarabangsa yang strategik, pengukuhan infrastruktur tenaga di Labuan ini juga selari dengan agenda Grid Tenaga ASEAN (APG) dalam memperkukuh daya tahan tenaga serantau.