Lawatan Turun Padang Ke Tapak Tanah Rizab Pembetungan

𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐓𝐔𝐑𝐔𝐍 𝐏𝐀𝐃𝐀𝐍𝐆 𝐊𝐄 𝐓𝐀𝐏𝐀𝐊 𝐓𝐀𝐍𝐀𝐇 𝐑𝐈𝐙𝐀𝐁 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐓𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 | 𝟏𝟖 𝐌𝐄𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐋𝐄𝐌𝐁𝐀𝐇 𝐊𝐋𝐀𝐍𝐆
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa tapak rizab pembetungan di Klang, Puchong dan Petaling Jaya.
Lawatan ini merupakan pemantauan susulan terhadap loji-loji kumbahan yang telah dinyahtauliahkan di bawah pelaksanaan projek rasionalisasi oleh JPP. Melalui pelaksanaan tersebut, operasi sistem rawatan sedia ada telah ditamatkan dan aliran efluen disalurkan ke loji berpusat atau serantau yang lebih efisien.
Lawatan ini diketuai oleh YBhg. Dato' Norhisham bin Musa, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) PETRA, Puan Saripah binti Daud, Ketua Akauntan PETRA, Encik Mohamad Azlan bin Abdul Majid, Timbalan Setiausaha Bahagian Perkhidmatan Air dan Pembetungan PETRA, Encik Mohd Shahnaz bin Yazid, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan dan turut disertai oleh pegawai-pegawai PETRA dan JPP. Pemantauan ini dijalankan selaras dengan Tatacara Pengurusan Aset Tak Alih Kerajaan (TPATA) bagi memastikan tapak bekas loji yang masih kekal sebagai aset pembetungan di bawah kategori tanah rizab berada dalam keadaan baik, teratur dan selamat.
Selain itu, lawatan ini turut memberi penekanan terhadap pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan berkala termasuk pembersihan kawasan loji, pemotongan rumput dan semak samun, pemeriksaan sistem saliran serta pelupusan sisa tinggalan struktur. Tindakan ini penting bagi memastikan kawasan tapak sentiasa bersih, selamat dan tidak menimbulkan risiko kepada penduduk sekitar.
PETRA komited dalam memastikan pengurusan aset pembetungan dilaksanakan secara berintegriti, efisien dan sistematik demi kepentingan rakyat serta kelestarian alam sekitar.