Lawatan Tapak YBrs. TKSU (Tenaga) Ke PMU Karamunsing, Sabah

𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐓𝐀𝐏𝐀𝐊 𝐘𝐁𝐑𝐒. 𝐓𝐊𝐒𝐔 (𝐓𝐄𝐍𝐀𝐆𝐀) 𝐊𝐄 𝐏𝐌𝐔 𝐊𝐀𝐑𝐀𝐌𝐔𝐍𝐒𝐈𝐍𝐆, 𝐒𝐀𝐁𝐀𝐇 | 𝟐𝟗 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐊𝐎𝐓𝐀 𝐊𝐈𝐍𝐀𝐁𝐀𝐋𝐔, 𝐒𝐀𝐁𝐀𝐇
YBrs. Puan Mareena binti Mahpudz, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) PETRA, selaku wakil rasmi Ketua Setiausaha PETRA, telah mengadakan lawatan tapak ke Projek Penghantaran 132/33/11kV PMU Karamunsing di Kota Kinabalu, Sabah hari ini.
Lawatan ini turut dihadiri oleh YBrs. Encik Azrizal Bin Marzaki selaku Wakil CEO TDA Berhad, serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), wakil Sabah Electricity dan PETRA.
Projek di bawah Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) ini memfokuskan kepada kerja-kerja menaiktaraf PMU 66kV sedia ada kepada PMU 132/33/11kV demi meningkatkan kestabilan serta keupayaan sistem pembekalan tenaga. Di samping meninjau kemajuan fizikal di tapak, lawatan ini bertujuan menilai langkah penyelesaian teknikal serta mengukuhkan koordinasi antara pihak kontraktor, agensi pelaksana, dan Sabah Electricity sebagai pengguna akhir.
Pemantauan secara berkala ini amat penting bagi memastikan sebarang kekangan pelaksanaan dapat diatasi secara berkesan, seterusnya menjamin penyampaian bekalan elektrik yang lebih selamat, stabil, dan berdaya harap bagi penduduk di sekitar Kota Kinabalu dan Negeri Sabah secara keseluruhannya.