Lawatan Tapak Ke PLSB Sungai Sarawak (Pakej 1)

𝐋𝐚𝐰𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐓𝐚𝐩𝐚𝐤 𝐊𝐞 𝐏𝐋𝐒𝐁 𝐒𝐮𝐧𝐠𝐚𝐢 𝐒𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐤 (𝐏𝐚𝐤𝐞𝐣 𝟏) 𝐓𝐚𝐦𝐚𝐧 𝐌𝐮𝐚𝐫𝐚 𝐓𝐮𝐚𝐧𝐠 𝐏𝐚𝐫𝐤, 𝐒𝐭𝐚𝐤𝐚𝐧 | 𝟏𝟑 𝐀𝐩𝐫𝐢𝐥 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐒𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐤
Siri jelajah PETRA Skuad Zon Sarawak 2026 diteruskan hari ini dengan lawatan kerja oleh YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) ke Taman Muara Tuang Park.
Lawatan ini bertujuan untuk memantau perkembangan fizikal Projek Naiktaraf Sistem Saliran di Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Tuang, yang merupakan antara komponen utama di bawah Projek Pembangunan Lembangan Sungai Terpadu (PLSB) Sungai Sarawak Pakej 1.
Pelaksanaan projek ini dibiayai melalui Peruntukan Pembangunan (DE) Kerajaan Persekutuan dengan nilai kontrak berjumlah RM18.67 juta. Skop kerja bagi Pakej 1 ini merangkumi:
1. Naiktaraf Sistem Saliran di SK Muara Tuang.
2. Naiktaraf Sistem Saliran di Jalan Kuching-Samarahan Expressway, Samarahan.
3. Kerja-kerja Mendalamkan dan Melebarkan Sungai Tabuan, Kuching.
Kehadiran YAB Timbalan Perdana Menteri ke tapak projek ini membuktikan komitmen jitu kementerian dalam memastikan infrastruktur saliran dan tebatan banjir disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan. Usaha ini adalah kritikal bagi menjamin kesejahteraan komuniti serta melindungi kawasan setempat daripada risiko bencana banjir secara berkesan.