Lawatan Kerja YB Timbalan Menteri PETRA ke Daerah Jempol, Negeri Sembilan

𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐁𝐄𝐑𝐇𝐎𝐑𝐌𝐀𝐓 𝐓𝐈𝐌𝐁𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀 𝐊𝐄 𝐃𝐀𝐄𝐑𝐀𝐇 𝐉𝐄𝐌𝐏𝐎𝐋, 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐒𝐄𝐌𝐁𝐈𝐋𝐀𝐍 | 𝟐𝟒 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔
YB Dato' Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Daerah Jempol, Negeri Sembilan pada 24 Julai 2026 (Jumaat).
Lokasi pertama lawatan dimulakan dengan tinjauan ke Projek Pembinaan Tangki Air Batu Kikir (N048 – Pakej 5) yang dilaksanakan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Projek bernilai RM17.6 juta ini telah dimulakan pada 13 November 2023, siap sepenuhnya pada 10 Disember 2025 dan seterusnya diserahkan kepada Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) untuk tujuan operasi.
Skop utama projek ini melibatkan pembinaan Tangki Air Bertingkat (Elevated Reservoir) berkapasiti 4.5 juta liter, pemasangan Paip Masuk (Inlet Pipe) jenis Mild Steel Cement Lined (MSCL) bersaiz 400 mm sepanjang 2.5 km, pemasangan Paip Keluar (Outlet Pipe) jenis Mild Steel Cement Lined (MSCL) bersaiz 450 mm sepanjang 1.5 km, kerja-kerja penstabilan cerun serta pemasangan sistem mekanikal dan elektrikal.
Tangki air ini turut menyediakan simpanan bekalan air sehingga dua (2) hari sekiranya berlaku gangguan bekalan air akibat kecemasan atau keadaan luar jangka, termasuk ketika musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan permintaan air.
Pelaksanaan projek ini telah memberi manfaat melalui penyediaan bekalan air terawat yang lebih stabil kepada kira-kira 2,800 akaun pengguna, melibatkan 13 kawasan perumahan di sekitar Pekan Batu Kikir dan kawasan sekitarnya.
Lawatan kedua diteruskan ke tapak cadangan Projek Menaik taraf Loji Rawatan Kumbahan Awam Ke Perenggan I, Peraturan- Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 - Fasa 2 ( Loji Rawatan Kumbahan Taman Bahau - NJL-011). Projek ini dilaksanakan Indah Water Konsortium (IWK) dengan kos RM6.8 juta menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Skop utama projek ini melibatkan pembinaan LRK mekanikal jenis Extended Aeration (EA) yang baru dari LRK sedia ada jenis Kolam Oksidasi.
Dalam lawatan ini YB Timbalan Menteri PETRA juga telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah projek. Projek ini akan dimulakan pada 29 Julai 2026 dan akan mengambil masa 18 bulan tempoh penyiapan. Projek ini bakal memberi manfaat rawatan air kumbahan yang memenuhi standard Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan 2024) sebelum dilepaskan ke kawasan tadahan (catchment area) hulu Sungai Muar.
Seterusnya, Majlis Ramah Mesra YB Timbalan Menteri PETRA bersama warga kerja agensi di bawah PETRA di daerah Jempol dan sekitarnya diadakan di Kedai Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bahau. Melibatkan pegawai dan staf TNB serta turut dihadiri pegawai PETRA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), SPAN, PAAB dan Suruhanjaya Tenaga (ST).
Lawatan terakhir merupakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility) oleh agensi di bawah PETRA melibatkan sumbangan oleh TNB, Penggantian Pili Cekap Air oleh SPAN dan Khidmat Pengosongan Tangki Septik oleh IWK di Masjid Al- Hidayah, Pekan Rompin, Jempol Negeri Sembilan.
Turut hadir dalam semua lawatan ini YBhg. Dato' Mohd Norhisham bin Musa, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) PETRA, YBhg. Dato' Hj. Ahmad Faizal bin Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN dan pegawai- pegawai kanan PETRA, JPS, SPAN, TNB, PAAB dan IWK.
PETRA komited memastikan agenda pembangunan sektor air negara sentiasa mampan dan kelestarian tenaga demi kemakmuran rakyat.