Lawatan Kerja Timbalan Menteri PETRA ke Daerah Pontian, Johor

𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐓𝐈𝐌𝐁𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀 𝐊𝐄 𝐃𝐀𝐄𝐑𝐀𝐇 𝐏𝐎𝐍𝐓𝐈𝐀𝐍, 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑 | 𝟐𝟖 𝐉𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐏𝐎𝐍𝐓𝐈𝐀𝐍, 𝐉𝐎𝐇𝐎𝐑
YB Dato' Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Daerah Pontian bagi meninjau perkembangan serta pelaksanaan projek di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Lawatan ini dimulakan dengan sesi taklimat di Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Pontian yang disampaikan oleh JPS Johor, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Indah Water Konsortium (IWK) bagi membincangkan status semasa projek, inisiatif pembangunan, serta cabaran penyampaian perkhidmatan air dan tenaga yang cekap kepada rakyat.
Seterusnya, YB Timbalan Menteri turut meluangkan masa menyantuni komuniti setempat melalui pelaksanaan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersepadu oleh agensi-agensi di bawah PETRA demi manfaat jemaah di Masjid Jami’ Al-Faizin, Parit Semerah dan Masjid Jamek Jannatun Na'im. Melalui program murni ini, TNB telah menyerahkan sumbangan barangan kelengkapan elektrik bernilai RM5,000.00 kepada setiap masjid, manakala pihak SPAN melaksanakan pemasangan Pili Cekap Air bagi menyokong agenda penjimatan air, di samping khidmat operasi penyedutan tangki kumbahan secara percuma oleh pihak IWK bagi memastikan sistem sanitasi kedua-dua premis ibadah tersebut berada dalam keadaan optimum.
Delegasi PETRA kemudiannya bergerak meninjau tapak Projek Pemuliharaan Sungai yang giat dilaksanakan untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan sekitar demi meningkatkan daya tahan bencana serta memastikan kesejahteraan komuniti setempat terus terpelihara.
Turut hadir dalam lawatan kerja ini ialah YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, YBhg. Dato' Mohd Norhisham bin Musa, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) PETRA, serta Encik Narendran Maniam, Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK).
PETRA komited memperkukuh kerjasama erat bersama Kerajaan Negeri Johor dan agensi-agensi terlibat bagi memastikan agenda pembangunan sektor air dan tenaga negara sentiasa mampan demi kemakmuran rakyat.