Lawataan Kerja TKSU (Air) Petra Ke Projek Pemuliharaan Muara Sungai Limbang

𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐓𝐊𝐒𝐔 (𝐀𝐈𝐑) 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀 𝐊𝐄 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐏𝐄𝐌𝐔𝐋𝐈𝐇𝐀𝐑𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐔𝐀𝐑𝐀 𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐋𝐈𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆 | 𝟐𝟏 𝐎𝐆𝐎𝐒 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐋𝐈𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆, 𝐒𝐀𝐑𝐀𝐖𝐀𝐊
YBhg. Dato’ Mohd Rodzwan bin Mohd Baba Sakri, Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA telah mengadakan lawatan kerja ke Muara Sungai Limbang bagi meninjau keadaan semasa serta meneliti isu dan keperluan pelaksanaan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Limbang.
Taklimat teknikal dan tinjauan tapak telah diadakan oleh wakil Bahagian Pengurusan Zon Pantai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia bersama JPS Sarawak dan Jurutera Daerah Limbang.
Tumpuan kepada keadaan pemendapan di muara, keperluan teknikal dan alam sekitar serta penyelarasan dengan pihak-pihak berkaitan bagi memastikan perancangan projek dapat dimuktamadkan secara menyeluruh.
Projek ini penting bagi memastikan kelancaran aliran sungai dan akses navigasi, di samping menyokong keselamatan serta kegiatan sosioekonomi masyarakat setempat.
Susulan lawatan ini, penyelarasan dan sesi libat urus antara pihak berkepentingan akan diperkukuh bagi memastikan tindakan selanjutnya dilaksanakan secara teratur, berkesan dan memberikan manfaat optimum kepada rakyat.
PETRA kekal komited dalam memperkukuh daya tahan infrastruktur air negara serta melaksanakan penyelesaian yang mampan demi kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.