Kursus Pasca AKRAB: Pengurusan Emosi PETRA

𝐊𝐔𝐑𝐒𝐔𝐒 𝐏𝐀𝐒𝐂𝐀 𝐑𝐀𝐊𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐈𝐌𝐁𝐈𝐍𝐆 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐇𝐈𝐃𝐌𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐀𝐖𝐀𝐌 (𝐀𝐊𝐑𝐀𝐁): 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐄𝐌𝐎𝐒𝐈 | 𝟗-𝟏𝟎 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐌𝐄𝐍𝐀𝐑𝐀 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) telah menganjurkan Kursus Pasca AKRAB: Pengurusan Emosi PETRA pada 9-10 September 2026 bertempat di Dewan Makan VIP, Aras 13, Menara PETRA. Kursus ini disertai seramai 34 orang ahli AKRAB PETRA dan dikendalikan sepenuhnya oleh YBhg. Profesor Dr. Mohammad Aziz Shah bin Mohamed Arip yang merupakan Profesor di Jabatan Bimbingan dan Kaunseling , Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kursus ini bertujuan memberi pendedahan kepada ahli AKRAB yang bertindak sebagai ejen intervensi rakan sebaya serta barisan hadapan dalam menangani isu psikososial di tempat kerja. Sehubungan itu, pemilihan ahli AKRAB sebagai peserta utama bengkel ini adalah langkah strategik dalam mentransformasikan mereka daripada sekadar pendengar kepada pembimbing yang kompeten. Melalui penguasaan modul CBT-H, mereka diperkasakan dengan instrumen yang lebih teknikal dan sistematik untuk membantu rakan sekerja menguruskan krisis emosi. Penglibatan ini bukan sahaja untuk meningkatkan kemahiran bimbingan mereka, malah berfungsi sebagai mekanisme perlindungan diri bagi mengelakkan kelesuan bantuan dan sekali gus memastikan kelestarian perkhidmatan sokongan psikologi dalam organisasi pada tahap yang optimum.
Semoga ilmu dan kemahiran yang diperolehi dapat diaplikasikan oleh ahli AKRAB PETRA sebagai rakan pembimbing dan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat, harmoni dan sejahtera.