Kunjungan Hormat YB Setiausaha Negeri Melaka Ke PETRA

𝐊𝐔𝐍𝐉𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐇𝐎𝐑𝐌𝐀𝐓 𝐘𝐁 𝐒𝐄𝐓𝐈𝐀𝐔𝐒𝐀𝐇𝐀 𝐍𝐄𝐆𝐄𝐑𝐈 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐀 𝐊𝐄 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀 | 𝟏𝟐 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐌𝐄𝐍𝐀𝐑𝐀 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀, 𝐏𝐔𝐓𝐑𝐀𝐉𝐀𝐘𝐀
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerima kunjungan hormat daripada YB Datuk Wira Salhah binti Salleh, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka dan disambut oleh YBhg. Dato' Sri Haji Mad Zaidi Bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA, sebagai platform memperkukuh kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Melaka, khususnya dalam memastikan keterjaminan dan kemampanan sumber serta bekalan air kepada rakyat.
Pertemuan ini turut memberi tumpuan kepada status pelaksanaan projek-projek infrastruktur bekalan air utama di Negeri Melaka, termasuk:
- Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih bernilai RM234.73 juta yang telah siap pada 28 Julai 2026, dengan kapasiti simpanan aktif sebanyak 14 juta meter padu bagi menyokong keperluan sumber air mentah di daerah Alor Gajah.
- Projek Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Jernih dan Sistem Agihan bernilai RM374 juta, yang merangkumi pembinaan loji rawatan air berkapasiti 90 juta liter sehari serta pembangunan infrastruktur penghantaran dan pengagihan air.
- Projek Pembinaan TAPS Melaka dengan siling peruntukan RM664.89 juta yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti simpanan dan keterjaminan sumber air mentah negeri.
- Projek Penyaluran Air Mentah dari Sungai Kesang dan Tasik Biru ke Empangan Jus dengan siling peruntukan RM150 juta yang sedang dalam peringkat pra-pelaksanaan.
Perbincangan turut memberi perhatian kepada aspek penyelarasan pelaksanaan projek, penyelesaian isu teknikal dan infrastruktur serta pengukuhan kerjasama antara agensi pelaksana bagi memastikan projek-projek yang dirancang dapat disiapkan secara teratur dan memberikan manfaat optimum kepada rakyat.
PETRA kekal komited untuk terus bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Melaka dan semua pihak berkepentingan dalam memperkukuh infrastruktur sumber dan bekalan air yang berdaya tahan, mampan dan mampu memenuhi keperluan pembangunan negeri pada masa hadapan.