Kunjungan Hormat Duta Besar Jerman Ke Malaysia Kepada Menteri PETRA

𝐊𝐔𝐍𝐉𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐇𝐎𝐑𝐌𝐀𝐓 𝐃𝐔𝐓𝐀 𝐁𝐄𝐒𝐀𝐑 𝐉𝐄𝐑𝐌𝐀𝐍 𝐊𝐄 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 𝐊𝐄𝐏𝐀𝐃𝐀 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀 | 𝟐𝟒 𝐉𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐏𝐀𝐑𝐋𝐈𝐌𝐄𝐍, 𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑
YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada Puan Yang Terutama (PYT) Silke Riecken-Daerr, Duta Besar Jerman ke Malaysia, di Bangunan Parlimen. Sesi yang penuh bermakna ini turut disertai oleh delegasi daripada Persatuan Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Jerman.
Kementerian PETRA mengalu-alukan kemasukan lebih banyak pelaburan daripada syarikat PKS Jerman, khususnya dalam bidang teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, serta sistem pengurusan dan rawatan air yang selaras dengan agenda pembangunan mampan negara.
Selain sektor industri, kedua-dua pihak turut membincangkan potensi jalinan kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Pengalaman dan kepakaran sistem TVET bertaraf dunia yang dimiliki oleh Jerman dilihat mampu dimanfaatkan bagi meningkatkan modal insan serta daya saing tenaga kerja Malaysia dalam mendepani cabaran ekonomi masa hadapan.
Kementerian PETRA optimis bahawa kerjasama strategik ini akan terus memperkukuh hubungan bilateral yang memberi manfaat jangka masa panjang kepada kedua-dua buah negara.