Hari Pertama Lawatan Kerja Timbalan Menteri PETRA Ke Melaka

𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐓𝐈𝐌𝐁𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀 𝐊𝐄 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐀 | 𝟔 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐀
YB Dato' Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengadakan lawatan kerja ke Negeri Melaka pada 6 November 2026.
Program lawatan dimulakan dengan Majlis Ramah YB Timbalan Menteri bersama warga kerja Jabatan/Agensi PETRA di negeri Melaka. Pada sesi tersebut YB Timbalan Menteri telah mendengar taklimat dari YBrs. Ts. Tahsilazam bin Othman (Ketua, SPAN Cawangan Melaka), Encik Mohd Nizam bin Abdullah (Ketua Operasi, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. - IWK Wilayah Selatan), Encik Ir. Amir Faisal bin Khamshah (Pengarah Suruhanjaya Tenaga (ST) Kawasan Negeri Sembilan dan Melaka) dan Puan Mariati binti Che Omar (Pengurus Besar Retail dan Stakeholders TNB Melaka).
YB Timbalan Menteri dalam ucapannya menyeru seluruh pegawai Jabatan/Agensi PETRA di Melaka untuk kekal komited meneruskan pencapaian kecemerlangan organisasi masing-masing sebagaimana dibentangkan semasa taklimat. Beliau juga mengalu-alukan sebarang aduan atau perkara yang memerlukan perhatian beliau untuk dibawa kepada pertimbangan Kementerian .
Pada majlis yang sama, YB Timbalan Menteri telah menyaksikan penyerahan dua (2) projek siap JPS telah diserahkan oleh JPS Malaysia kepada pihak Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka iaitu:
1. Kerja-kerja Menaik Taraf Benteng Pantai dan Lain-lain Kerja yang Berkaitan bagi Mengatasi Fenomena Air Pasang Besar di Tanjung Bidara, Daerah Alor Gajah, Melaka.
2. Kerja-kerja Menaik Taraf Benteng Pantai dan Lain-lain Kerja yang Berkaitan bagi Mengatasi Fenomena Air Pasang Besar di Alai Perdana, Daerah Melaka Tengah, Melaka.
Penyerahan kedua-dua projek ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan menerusi PETRA dan JPS Malaysia dalam memperkukuh perlindungan kawasan pesisir pantai daripada ancaman fenomena air pasang besar dan mengurangkan risiko limpahan air laut serta meminimumkan impak terhadap keselamatan penduduk, harta benda dan infrastruktur awam, sekali gus meningkatkan tahap perlindungan dan kesejahteraan komuniti setempat.
Lawatan kedua merupakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh TNB, SPAN dan IWK di Masjid Imam Muslim, Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Di majlis tersebut TNB telah berbesar hati memberikan sumbangan kewangan kepada Jawatankuasa Masjid. Manakala pihak SPAN telah menukar 30 pili cekap air dan IWK telah memberi perkhidmatan percuma pengosongan tangki septik.
Lawatan ketiga diteruskan ke Pintu Air Kolam Krubong, Durian Tunggal bagi meninjau kesiapsiagaan PETRA dan JPS dalam menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL). YB Timbalan Menteri telah diberi taklimat mengenai operasi pam kecemasan mudah alih, rumah pam dan pintu air. Sejumlah 580 buah pam kecemasan mudah alih pelbagai jenis dan kapasiti berada dalam keadaan siap siaga di seluruh negara dengan 366 buah telah siap dipasang di hotspot banjir. Manakala 285 buah rumah pam pegun serta 1,079 pintu kawalan air juga berada dalam keadaan siapsiaga untuk menghadapi musim MTL ini. Pemasangan pam kecemasan mudah alih ini serta ketersediaan aset-aset JPS di tapak ini dapat mengurangkan impak banjir di kawasan-kawasan hotspot banjir sedia ada. YB Timbalan Menteri juga melancarkan simbolik kesiapsiagaan aset JPS bagi menghadapi musim MTL dan meninjau sendiri demonstrasi keupayaan pam berkapasiti 280 liter sesaat yang berfungsi mengepam air banjir genang di Kampung Belimbing ke Sungai Melaka.
YB Timbalan Menteri seterusnya melawat tapak dan mendengar taklimat Projek Menaik Taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal Sebagai Kolam Dwi-Fungsi Untuk Tebatan Banjir dan Sumber Air Negeri Melaka (Reka dan Bina). Projek yang dimulakan pada 20 September 2022 mengambil masa pelaksanaan 89 bulan dan dijangka siap pada 20 Februari 2030. Kemajuan semasa projek sehingga 15 Oktober 2026 ialah 57.00% (Jadual) dan 57.05% (Sebenar). Projek dwi-fungsi ini dirangka bagi menangani dua cabaran utama iaitu risiko banjir ketika musim tengkujuh dan kekurangan sumber air mentah ketika musim kemarau. Daripada aspek tebatan banjir, kapasiti sungai dan kolam takungan membolehkan perlindungan banjir sehingga tahap 50 tahun ARI (Average Recurrance Interval). Daripada aspek jaminan bekalan air pula, sistem ini direka untuk menyediakan bekalan sumber air mentah sehingga 30 hari ketika kemarau melampau. Semasa aliran biasa dan tinggi, sistem berkeupayaan mengepam 220 juta liter sehari (MLD) ke Empangan Durian Tunggal. Manakala ketika aliran rendah, 150 MLD disalurkan ke Bunded Storage 1 bagi memastikan kesinambungan bekalan ke Loji Rawatan Air Bertam.
Lawatan kerja YB Timbalan Menteri ini turut diiringi oleh YBhg. Dato' Mohd Norhisham bin Musa, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan), PETRA; YBrs. Tuan Ir. Hanizan bin Deraman, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes), JPS Malaysia; Tuan Ir. Haji Mohd Adnan bin Ahmad Fauzi, Pengarah JPS Negeri Melaka; serta pegawai-pegawai kanan PETRA dan wakil daripada jabatan serta agensi berkaitan.