Hari Ketiga Lawatan Kerja Timbalan Menteri PETRA Ke Melaka

𝐇𝐀𝐑𝐈 𝐊𝐄𝐓𝐈𝐆𝐀 𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐓𝐈𝐌𝐁𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀 𝐊𝐄 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐀 | 𝟖 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐀
YB Dato' Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengadakan lawatan kerja ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Melaka pada 8 November 2026.
Pada hari ini YB Timbalan Menteri telah hadir menyempurnakan pelancaran Projek Menaik taraf Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Ke Para I ( Para II) di Taman Sri Sutera, Rembia, Alor Gajah, Melaka.
Loji Rawatan Kumbahan AGH111, merupakan salah satu loji di bawah Pakej ME-3 yang akan dilaksanakan secara konvensional. Loji sedia ada yang berkapasiti 2,700 Penduduk Setara (PE) dan menggunakan teknologi Extended Aeration (EA) akan dinaik taraf merangkumi pengubahsuaian dan pembinaan rumah peniup (blower house) baharu, bilik panel kawalan, serta kemudahan struktur lain yang berkaitan serta Kerja-Kerja Mekanikal, Elektrikal & Automasi yang mampu menghasilkan efluen yang memenuhi piawaian semasa.
Pelaksanaan penaiktarafan ini akan meningkatkan keberkesanan proses rawatan kumbahan, mengurangkan risiko pencemaran sungai serta membantu memelihara sumber air yang menjadi aset penting kepada negara.
Projek Pakej ME-3 ini mempunyai tempoh pelaksanaan selama 56 bulan, bermula pada 1hb Oktober 2025 dan dijadualkan siap pada 31 Mei 2031. Diharapkan semua pihak yang terlibat dapat memberikan komitmen sepenuhnya bagi memastikan projek ini dilaksanakan mengikut jadual serta memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.
Lawatan ini turut disertai YBhg Dato' Mohd Norhisham bin Musa, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) PETRA, Puan Ir Ts Arni Shahrina binti Shaharum, Pengarah Kanan SPAN, Encik Ir. Mohd Taufik bin Salleh, Ketua Pegawai Operasi (COO) IWK Sdn Bhd serta pegawai kanan PETRA, SPAN dan IWK.
Usai program lawatan kerja hari ini, YB Timbalan Menteri berkesempatan meluangkan masa memenuhi jemputan ziarah sempena perayaan Deepavali ke kediaman Encik J. Sivakumar dan Encik Jeyagobi. Kebetulan, rumah kedua-dua keluarga ini terletak bersebelahan sahaja dengan tapak lawatan projek.
Ziarah seperti ini amat bermakna dalam usaha kita merapatkan hubungan, mendengar rintihan hati rakyat, serta menyemarakkan lagi semangat perpaduan kaum. Keharmonian dan ikatan persaudaraan yang erat di peringkat akar umbi adalah tiang utama kekuatan negara kita.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada keluarga Encik J. Sivakumar dan Encik Jeyagobi atas layanan yang sangat mesra dan sudi menerima kunjungan.
Selamat menyambut Hari Deepavali kepada Encik J. Sivakumar, Encik Jeyagobi, serta seluruh masyarakat India di Malaysia. Semoga perayaan ini membawa limpahan kebahagiaan, kedamaian, dan kemakmuran buat kita semua.