Hari Kedua Lawatan Kerja Timbalan Menteri PETRA Ke Melaka

𝐇𝐀𝐑𝐈 𝐊𝐄𝐃𝐔𝐀 𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀 𝐓𝐈𝐌𝐁𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀 𝐊𝐄 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐀 | 𝟕 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐀
YB Dato' Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air telah mengadakan lawatan kerja ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Melaka pada 7 November 2026.
Program pertama merasmikan Mini Festival TNB Dekat Dihati bersama penduduk Felda Bukit Senggeh, Jasin, Melaka. Pada program ini sebanyak tiga (3) siri taklimat atau 'pocket talk' mengenai industri bekalan elektrik termasuklah penerangan mengenai tarif elektrik dan mekanisme Pelarasan Bahan Api Secara Automatik (AFA), Program Kecekapan Tenaga oleh SEDA dan insentif-insentif yang disediakan Kerajaan untuk manfaat rakyat seperti Program SuRIA dan Program Nikmat untuk Rakyat PETRA (NUR@PETRA).
Seterusnya YB Timbalan Menteri telah menyempurnakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Indah Water Konsortium (IWK) di Masjid Tun Ghafar, Felda Bukit Senggeh, Jasin, Melaka. Dalam program tersebut Jawatankuasa Masjid telah menerima sumbangan peruntukan TNB . Manakala pihak SPAN telah memasang 40 pili cekap air dan pihak IWK telah memberi perkhidmatan pengosongan tangki septik secara percuma.
Pada lawatan terakhir, YB Timbalan Menteri telah hadir menyempurnakan pelancaran Projek Menaik taraf Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Ke Para I (asalnya LRK Para II) di Taman Pelangi, Asahan, Melaka. Projek tersebut bakal memberi manfaat mengurangkan pencemaran air dan bau serta memastikan pelepasan efluen bersih kelas 1(A) berdasarkan ketetapan Jabatan Alam Sekitar. Suatu pelepasan efluen yg lebih ketat berbanding sekarang. Projek ini dibiayai melalui dana Kumpulan Wang Simpanan Modal Pembetungan (KWSMP) SPAN.
Sebanyak 23 buah loji yang dikenal pasti di Melaka, di mana 11 buah terletak di daerah Jasin, 11 buah lagi di Alor Gajah dan sebuah lagi terletak di Melaka Tengah perlu dinaiktaraf ke Para1. Loji-loji di Jasin dijangka memberi manfaat kepada lebih 13,216 penduduk setara (PE), manakala loji-loji di Alor Gajah akan memberi manfaat kepada lebih 14,125 PE. Secara keseluruhan, pelaksanaan program Fasa 2 di Melaka dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 29,011 PE.
Lawatan ini turut disertai YBhg Dato' Mohd Norhisham bin Musa, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) PETRA, Encik Anuar Zaki bin Bakar, Setiausaha Bahagian Bekalan Elektrik PETRA dan pegawai-pegawai kanan PETRA, Puan Ir. Ts. Arni Shahrina binti Shaharum, Pengarah Kanan SPAN, Encik Ir. Mohd Taufik bin Salleh, Ketua Pegawai Operasi (COO) IWK Sdn Bhd, wakil SEDA dan Pengurus TNB, SPAN dan IWK cawangan Melaka.