Berita Terkini
Seminar Pemerkasaan Wanita: Keseimbangan Kerjaya dan Kehidupan
10 Mac 2026
𝐒𝐄𝐌𝐈𝐍𝐀𝐑 𝐏𝐄𝐌𝐄𝐑𝐊𝐀𝐒𝐀𝐀𝐍 𝐖𝐀𝐍𝐈𝐓𝐀: 𝐊𝐄𝐒𝐄𝐈𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐉𝐀𝐘𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐇𝐈𝐃𝐔𝐏𝐀𝐍 | 𝟏𝟎 𝐌𝐀𝐂 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐌𝐄𝐍𝐀𝐑𝐀 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) telah menganjurkan Seminar Pemerkasaan Wanita: Keseimbangan Kerjaya dan Kehidupan pada hari ini di Menara PETRA dengan pengisian program oleh Dr. Hazaila binti Hasan, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Program ini dilaksanakan sebagai satu pengisian khas untuk menghargai dan mengiktiraf peranan wanita PETRA tanpa mengira latar belakang etnik, agama, bahasa, budaya mahupun ekonomi. Selain itu, program ini juga dirancang sebagai salah satu inisiatif di bawah Dasar Wanita Negara yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Dr. Hazailah binti Hasan telah mengupas topik ini dalam dua (2) slot utama iaitu “Wanita Unggul: Hidup Seimbang” dan “Dari Tekanan ke Kesejahteraan”. Antara perkongsian menarik ialah kepentingan untuk menyayangi diri sendiri (self-love) sebagai asas utama sebelum menyayangi insan lain. Beliau juga berkongsi beberapa tip praktikal dalam mengurus tekanan, khususnya bagi wanita yang memikul peranan sebagai pekerja, ibu, isteri, anak dan anggota masyarakat.
Semoga sesi perkongsian ini memberikan inspirasi kepada para peserta untuk lebih menghargai diri, mengurus emosi dengan baik serta berusaha untuk mencapai keseimbangan antara kerjaya, keluarga dan kesejahteraan diri.


