Berita Terkini
Lawatan Tapak Timbalan Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air Ke Projek RTB Sg. Rempayan, Lembangan Sungai Menggatal, Kota Kinabalu

LAWATAN TAPAK TIMBALAN MENTERI PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR KE PROJEK RTB SG. REMPAYAN, LEMBANGAN SUNGAI MENGGATAL, KOTA KINABALU | 29 SEPTEMBER 2025 | KOTA KINABALU, SABAH
YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), telah mengadakan lawatan kerja bagi meninjau kemajuan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rampayan, Lembangan Sungai Menggatal, Kota Kinabalu.
Turut mengiringi beliau ialah YBrs. Ir. Mohd. Sha’ri bin Mohammed, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar), JPS Malaysia serta YBrs. Ir. Siraja bin Bashora, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sabah.
Projek bernilai RM36 juta ini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2026 di mana skop pelaksanaan merangkumi kerja-kerja pengambilan tanah, pembinaan parit konkrit, serta pembentung jalan. Projek ini dijangka dapat mengurangkan risiko banjir dan kerosakan harta benda di kawasan seluas 25 hektar, sekaligus memberi perlindungan kepada hampir 5,000 penduduk setempat.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh infrastruktur mitigasi banjir dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan terhadap perubahan iklim yang semakin mencabar.