Berita Terkini
Program Brisk Walk PETRA Siri Merdeka Tahun 2025
7 Ogos 2025

𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐁𝐑𝐈𝐒𝐊 𝐖𝐀𝐋𝐊 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀 𝐒𝐈𝐑𝐈 𝐌𝐄𝐑𝐃𝐄𝐊𝐀 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟓 l 𝟕 𝐎𝐆𝐎𝐒 𝟐𝟎𝟐𝟓 l 𝐋𝐎𝐁𝐈 𝐏𝐎𝐃𝐈𝐔𝐌, 𝐌𝐄𝐍𝐀𝐑𝐀 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah mengadakan Program Brisk Walk PETRA Siri Merdeka Tahun 2025 di Lobi Podium, Menara PETRA petang semalam. Program tersebut telah dirasmikan oleh YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA. Turut hadir sama YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi Bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA, YBhg. Dato' Mohd Norhisham bin Musa, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) PETRA dan YBrs. Encik Erwin Khairul Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Kandungan Digital, Jabatan Penerangan Malaysia.
Program Brisk Walk PETRA Siri Merdeka Tahun 2025 ini merupakan program serampang dua mata di mana ia menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di bawah inisiatif Putrajaya Sihat Sejahtera bagi membudayakan aktiviti sihat dalam kalangan Warga PETRA serta menyemarakkan semangat kemerdekaan melalui Sesi Simbolik Penyerahan Kit Jalur Gemilang Bersempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Tahun 2025 (HKHM 2025).
Program dimulakan dengan Senam Seni Warna Warni Malaysia MADANI oleh Zumba Instructor yang dilantik oleh PUSPANITA PETRA sebelum diteruskan dengan Sesi Simbolik Penyerahan Kit Jalur Gemilang daripada YBrs. Encik Erwin Khairul Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Kandungan Digital, Jabatan Penerangan Malaysia kepada YBhg. Dato' Mohd Norhisham bin Musa sambil disaksikan oleh YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA dan YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi Bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA.
Acara Brisk Walk dimulakan apabila YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir melakukan "Flag Off" kepada 180 peserta yang mengambil jarak sejauh 2.6km (pergi dan balik). Terdapat aktiviti menarik anjuran Kelab PETRA di check point Brisk Walk.