Berita Terkini
Majlis Perasmian Sistem Solar Fotovolta Di Kompleks Parlimen Malaysia
24 Julai 2025

𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐌𝐈𝐀𝐍 𝐒𝐈𝐒𝐓𝐄𝐌 𝐒𝐎𝐋𝐀𝐑 𝐅𝐎𝐓𝐎𝐕𝐎𝐋𝐓𝐀 𝐃𝐈 𝐊𝐎𝐌𝐏𝐋𝐄𝐊𝐒 𝐏𝐀𝐑𝐋𝐈𝐌𝐄𝐍 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 | 𝟐𝟒 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟓 | 𝐏𝐀𝐑𝐋𝐈𝐌𝐄𝐍 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀
YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berada di Parlimen Malaysia tengah hari tadi bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Sistem Solar Fotovolta di Kompleks Parlimen Malaysia.
Bangunan Parlimen Malaysia kini telah dilengkapi dengan sistem solar fotovolta berkapasiti 1.5MW dengan penjanaan tahunan mencecah 1.9GWj. Kapasiti ini telah menyumbang kepada pengurangan pelepasan GHG sebanyak 1,465 tan metrik CO2 setahun dengan anggaran penjimatan bil elektrik sebanyak RM1juta setahun.
Parlimen Malaysia juga turut dilengkapi dengan 4 petak pengecasan kenderaan elektrik (Electric Vehicle Charging Bay) bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik terutamanya oleh ahli-ahli parlimen dan petugas. Ini menjadikan Bangunan Parlimen Malaysia antara bangunan parlimen terawal di dunia yang mempunyai kapasiti solar panel sebesar ini.
Malaysia komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca (GHG) sebanyak 45% menjelang tahun 2030 berbanding intensiti pelepasan pada tahun 2005, dan sedang berusaha untuk mencapai pelepasan GHG sifar bersih menjelang tahun 2050.