Berita Terkini
Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia Tahun 2025
4 Oktober 2025

𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐌𝐈𝐀𝐍 𝐒𝐀𝐌𝐁𝐔𝐓𝐀𝐍 𝐇𝐀𝐑𝐈 𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐒𝐄𝐃𝐔𝐍𝐈𝐀 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟓 𝐏𝐄𝐑𝐈𝐍𝐆𝐊𝐀𝐓 𝐊𝐄𝐁𝐀𝐍𝐆𝐒𝐀𝐀𝐍 | 𝟒 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 | 𝐓𝐀𝐈𝐏𝐈𝐍𝐆, 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐊
YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), telah menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan di Sungai Batu Tegoh, Taiping, Perak.
Sambutan tahun ini mengekalkan tema "Sungai dan Alur dalam Komuniti Kita", bertujuan menyuntik kesedaran mengenai betapa pentingnya sungai sebagai nadi kehidupan kita semua. Memandangkan sungai membekalkan 97% air mentah negara, penjagaan kualiti sungai merupakan isu keselamatan negara, kesejahteraan rakyat, dan pembangunan negara.
YAB Timbalan Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada YB Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, atas komitmen jitu Kerajaan Negeri Perak dalam memastikan kemampanan sungai.
Kerajaan Negeri Perak turut diraikan atas kesudian menjadi tuan rumah bagi sambutan kali ini. Pemilihan Sungai Batu Tegoh adalah tepat, kerana lokasi ini menjadi contoh pembangunan inklusif melalui Projek Denai Sungai Kebangsaan (DSK) yang siap pada tahun 2024. Projek DSK membuktikan bahawa sungai bukan sahaja sumber air, malah berpotensi tinggi sebagai pusat rekreasi yang menjana ekonomi setempat melalui eko-pelancongan dan aktiviti komuniti.
Turut hadir menyerikan majlis adalah YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA, YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA, barisan kepimpinan negeri serta wakil rakyat dan orang ramai.