Berita Terkini
Majlis Perasmian Projek Perdana Solar Kediaman Di Bawah Program CREAM
26 September 2025

𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐌𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐏𝐄𝐑𝐃𝐀𝐍𝐀 𝐒𝐎𝐋𝐀𝐑 𝐊𝐄𝐃𝐈𝐀𝐌𝐀𝐍 𝐃𝐈 𝐁𝐀𝐖𝐀𝐇 𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐂𝐑𝐄𝐀𝐌 | 𝟐𝟔 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 | 𝐄𝐋𝐌𝐈𝐍𝐀 𝐒𝐀𝐋𝐄𝐒 𝐆𝐀𝐋𝐋𝐄𝐑𝐘
Majlis Perasmian Projek Perdana Solar Kediaman di bawah Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM) telah dilancarkan secara rasmi oleh YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). Projek ini merupakan kerjasama strategik antara dua syarikat korporat utama negara ini iaitu Sime Darby dan Tenaga Nasional Berhad dalam menjayakan Program CREAM.
Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM), yang diperkenalkan pada awal tahun ini oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), berfungsi sebagai inisiatif strategik untuk menggalakkan penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) di peringkat komuniti. Melalui program ini, pemilik rumah diberikan peluang untuk memajak atau menyewa ruang bumbung kediaman mereka kepada pihak ketiga. Tenaga yang dihasilkan daripada sistem solar fotovoltaik (PV) ini kemudiannya digabungkan (aggregation) untuk membekalkan elektrik hijau kepada pengguna setempat.
Beliau berharap kejayaan projek ini adalah kunci untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih berdaya saing dan mampan selain kerjasama padu antara semua pihak terutamanya syarikat korporat menjayakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan merealisasikan meningkatkan campuran TBB dalam bekalan elektrik negara kepada 70% menjelang tahun 2050.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Berbahagia Dato' Haji Mad Zaidi Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA ,barisan pengurusan tertinggi agensi-agensi Kerajaan, Sime Darby Property dan Tenaga Nasional Berhad.