Berita Terkini
Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Bersama Warga PETRA Tahun 2026
4 Mac 2026
𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐁𝐄𝐑𝐁𝐔𝐊𝐀 𝐏𝐔𝐀𝐒𝐀 𝐘𝐀𝐁 𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐖𝐀𝐑𝐆𝐀 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀 | 𝟒 𝐌𝐀𝐂 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐃𝐄𝐖𝐀𝐍 𝐁𝐀𝐈𝐃𝐔𝐑𝐈, 𝐌𝐄𝐍𝐀𝐑𝐀 𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Bersama Warga PETRA Tahun 2026 yang berlangsung dengan penuh ukhuwah di Dewan Baiduri, Menara PETRA, Putrajaya. Majlis ini telah diserikan dengan kehadiran YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA bersama isteri, YABhg. Datin Amar Hajah Ruziah binti Mohd Tahir, serta YB Dato' Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri PETRA bersama isteri, dan YBhg. Dato' Sri Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA.
Pengisian majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Encik Mohamad Hafizul Helmi bin Husin daripada Tenaga Nasional Berhad, disusuli dengan tazkirah Ramadan bertajuk "Separuh Ramadan: Di mana kedudukan kita di sisi Allah SWT" yang disampaikan oleh penceramah bebas, Ustaz Syed Mohd Nor Hisham bin Tuan Padang Al-Idrus.
Sebagai tanda keprihatinan sosial, YAB Menteri turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada 20 orang anak yatim dari Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, sebuah pusat jagaan yang telah berkhidmat memberikan sokongan kepada golongan asnaf dan anak yatim sejak tahun 2007. Semoga majlis ini dapat memperkukuh silaturahim sesama warga kementerian serta membawa keberkatan buat semua di bulan yang mulia ini.


