Berita Terkini
Majlis Apresiasi Penarafan Pengurusan Aduan Awam Kementerian Tahun 2025
30 September 2025

𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐀𝐏𝐑𝐄𝐒𝐈𝐀𝐒𝐈 𝐏𝐄𝐍𝐀𝐑𝐀𝐅𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐔𝐒𝐀𝐍 𝐀𝐃𝐔𝐀𝐍 𝐀𝐖𝐀𝐌 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟓 | 𝟑𝟎 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 | 𝐃𝐄𝐖𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐌𝐀𝐑 𝐒𝐀𝐑𝐈 𝟑, 𝐏𝐔𝐓𝐑𝐀𝐉𝐀𝐘𝐀
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melakar kejayaan apabila dianugerahkan Penarafan Cemerlang “Platinum” bagi prestasi Pengurusan Aduan Awam Tahun 2025.
Penarafan Platinum ini dianugerahkan kepada kementerian yang memperoleh markah antara 90 hingga 100 peratus semasa penaziran oleh Pasukan Naziran Pengurusan Aduan Awam BPA. Penilaian tersebut melibatkan keseluruhan 27 kementerian dan Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang dijalankan dari 1 hingga 31 Julai 2025.
Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, dan diterima bagi pihak PETRA oleh YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA, dalam majlis anjuran Biro Pengaduan Awam JPM yang berlangsung di Dewan Damar Sari, Kompleks F, Putrajaya.
Pencapaian ini mencerminkan usaha gigih seluruh warga PETRA dalam mengekalkan tadbir urus aduan awam yang berintegriti, telus dan berakauntabiliti. Kejayaan ini juga tidak akan tercapai tanpa kerjasama erat serta sokongan padu daripada agensi dan jabatan di bawah PETRA yang sentiasa bersama memastikan kecemerlangan pengurusan aduan awam. Ia sekaligus menjadi dorongan untuk PETRA terus memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat.