Sesi Pertukaran Surat Hasrat (Letter of Intent) Antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Perancis

𝐒𝐄𝐒𝐈 𝐏𝐄𝐑𝐓𝐔𝐊𝐀𝐑𝐀𝐍 𝐒𝐔𝐑𝐀𝐓 𝐇𝐀𝐒𝐑𝐀𝐓 (𝐋𝐄𝐓𝐓𝐄𝐑 𝐎𝐅 𝐈𝐍𝐓𝐄𝐍𝐓) 𝐀𝐍𝐓𝐀𝐑𝐀 𝐊𝐄𝐑𝐀𝐉𝐀𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐊𝐄𝐑𝐀𝐉𝐀𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐍𝐂𝐈𝐒 | 𝟒 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟓 | 𝐏𝐀𝐑𝐈𝐒, 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐍𝐂𝐈𝐒
Sesi pertukaran Surat Hasrat (Letter of Intent) mengenai kerjasama dalam bidang peralihan tenaga di antara Kerajaan Malaysia diwakili Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dengan Kerajaan Perancis diwakili Kementerian Industri dan Tenaga Perancis telah berlangsung di Paris bersempena lawatan rasmi YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke Perancis pada 3 dan 4 Julai 2025.
YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA mewakili Malaysia manakala Tuan Yang Terutama Thani Mohamed Soilihi, Minister Delegate for Francophonie and International Partnerships of France mewakili Perancis pada sesi pertukaran dokumen tersebut.
Kedua-dua buah negara telah menzahirkan hasrat kerjasama dalam bidang peralihan tenaga yang meliputi tenaga boleh baharu & kecekapan tenaga, nuklear, infrastruktur grid kuasa bagi tujuan integrasi tenaga serantau dan mekanisme pembiayaan kewangan dalam bidang tenaga. Selain itu, kedua-dua buah negara juga berhasrat mengenal pasti bentuk-bentuk kerjasama yang boleh dilaksanakan secara bersama seperti penyelidikan, latihan, pertukaran maklumat dan penganjuran program yang berkaitan bidang kerjasama tersebut.
Pertukaran Surat Hasrat berkenaan juga merupakan susulan daripada persetujuan yang disepakati semasa pertemuan YAB Dato' Sri Mohd Fadillah Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA dengan Tuan Yang Terutama Marc Ferracci, Menteri Industri dan Tenaga Perancis semasa lawatan rasmi beliau ke negara berkenaan pada bulan April lepas.
Pascapertukaran Surat Hasrat tersebut, perundingan di peringkat pegawai akan diteruskan bagi merealisasikan instrumen kerjasama dalam bidang tenaga ke arah hubungan bilateral yang lebih kukuh di antara Malaysia dengan Perancis.