Program Karnival Kampung Angkat MADANI

YBhg. Dato’ Sri Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), telah menyempurnakan Majlis Perasmian Program Karnival Kampung Angkat MADANI yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kebun Baharu (SKKB), Telok Panglima Garang, Selangor.
Program Karnival Kampung Angkat MADANI Tahun 2025 PETRA merupakan salah satu inisiatif di bawah Program Kampung Angkat MADANI, yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (BPSA) PETRA, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 9, Indah Water Konsortium (IWK), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Tenaga (ST), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Sekolah Kebangsaan Kebun Baharu, dan Sekolah Rendah Agama Kebun Baharu.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang program, merangkumi aktiviti komuniti, sukan rakyat, pameran dan reruai agensi serta jabatan kerajaan, jualan usahawan tempatan, sukaneka dan rewang kampung, selain Program Malam Tautan Ukhuwah yang menyerikan suasana pada waktu malam.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada seluruh warga Telok Panglima Garang atas sambutan hangat serta penyertaan yang memeriahkan penganjuran program ini. Tahniah juga diucapkan kepada para pengunjung bertuah yang membawa pulang pelbagai hadiah menarik.