Majlis Pengumuman Bersama Projek-Projek Bekalan Air Tebus Guna Untuk Malaysia

𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐌𝐔𝐌𝐀𝐍 𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊-𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐁𝐄𝐊𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐀𝐈𝐑 𝐓𝐄𝐁𝐔𝐒 𝐆𝐔𝐍𝐀 𝐔𝐍𝐓𝐔𝐊 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 | 𝟏𝟑 𝐍𝐎𝐕 𝟐𝟎𝟐𝟓 | 𝐊𝐋𝐂𝐂, 𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengumumkan kejayaan tandatangan tiga perjanjian penting yang mewujudkan rantaian bekalan air tebus guna bersepadu yang pertama di Lembah Klang untuk operasi pusat data. Majlis yang disaksikan oleh YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri PETRA, bersama YAB Dato' Seri Amirudin Shari, Dato' Menteri Besar Selangor, dan Dr. Saji PK dari AWS, menandakan pencapaian utama dalam memajukan ekonomi air tebus guna dan infrastruktur digital lestari Malaysia.
Tahniah diucapkan kepada PETRA, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), Air Selangor, dan Amazon Web Services (AWS) atas kerjasama transformatif ini. Inisiatif ini selaras dengan komitmen PETRA di bawah Transformasi Sektor Air 2040 (AIR 2040), dengan menjadikan efluen terawat sebagai aset boleh diperbaharui yang memperkukuh pengurusan sumber air negara. Kerjasama awam-swasta ini berfungsi sebagai model yang proaktif dan terangkum untuk pengurusan sumber air dalam ekonomi yang dipacu oleh inovasi.
PETRA juga sedang memperhalusi kerangka kerja undang-undang dan dasar untuk menggalakkan penerimaan air tebus guna yang lebih luas, selari dengan visi Ekonomi MADANI yang menghubungkan pertumbuhan industri dengan kelestarian. Langkah ini menunjukkan bahawa inovasi dan kemampanan boleh bergerak seiring, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau yang bertanggungjawab.