Lawatan Tapak Kesiapsiagaan Aset Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Pulau Pinang

𝐋𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐓𝐀𝐏𝐀𝐊 𝐊𝐄𝐒𝐈𝐀𝐏𝐒𝐈𝐀𝐆𝐀𝐀𝐍 𝐀𝐒𝐄𝐓 𝐉𝐏𝐒 𝐌𝐄𝐍𝐆𝐇𝐀𝐃𝐀𝐏𝐈 𝐌𝐎𝐍𝐒𝐔𝐍 𝐓𝐈𝐌𝐔𝐑 𝐋𝐀𝐔𝐓 𝐃𝐈 𝐏𝐔𝐋𝐀𝐔 𝐏𝐈𝐍𝐀𝐍𝐆 | 𝟏𝟑 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 | 𝐏𝐔𝐋𝐀𝐔 𝐏𝐈𝐍𝐀𝐍𝐆
Bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026, PETRA telah mengadakan Lawatan Tapak Kesiapsiagaan Aset Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Pulau Pinang pada 13 November 2025 bagi memastikan semua aset jabatan berada dalam keadaan siap siaga maksimum.
Lawatan ini menumpukan kepada tahap kesediaan, operasi aset dan keperluan sumber JPS, termasuk projek mitigasi banjir utama di Daerah Barat Daya dan Timur Laut, seperti:
- Projek Pemuliharaan Sungai bagi mengurangkan risiko banjir di Sungai Pinang berhampiran Jalan Langkawi dan kerja berkaitan di Daerah Timur Laut.
- Pam Bergerak Persiaran Mahsuri, Bayan Baru, Daerah Barat Daya
- Rumah Pam Teluk Kumbar, Daerah Barat Daya
Secara keseluruhan, JPS Pulau Pinang diperuntukkan sebanyak RM6.7juta bagi pelaksanaaan 59 projek di bawah program pemuliharaan sungai bagi mengurangkan risiko banjir tahun 2025.
Selain itu, JPS Pulau Pinang mempunyai 44 buah rumah pam tebatan banjir dan 29 unit pam bergerak (termasuk tambahan 14 unit baharu) bagi memastikan kesiapsiagaan maksimum menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
Lawatan ini diketuai oleh YBhg. Dato’ Mohd Norhisham bin Musa, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) PETRA, dan YBrs. Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ooi Soon Lee, Pengarah JPS Pulau Pinang, serta dihadiri pegawai PETRA dan JPS.
Turut menyertai lawatan ini adalah YB Dato’ Azrul Mahathir bin Aziz ADUN Bayan Lepas merangkap Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang serta wakil Ahli Parlimen dan ADUN di kawasan berkenaan. Maklum balas positif diterima terhadap usaha-usaha mitigasi banjir yang telah dilaksanakan. Penambahbaikan berterusan akan dilaksanakan berdasarkan cadangan yang diberikan.
Lawatan tapak ini sekali lagi menegaskan komitmen PETRA dan JPS untuk memastikan aset sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan optimum, sekaligus melindungi keselamatan dan kesejahteraan rakyat Pulau Pinang sepanjang Monsun Timur Laut.