Program Jelajah Psikologi2U Siri 1 Tahun 2026

𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐉𝐄𝐋𝐀𝐉𝐀𝐇 𝐏𝐒𝐈𝐊𝐎𝐋𝐎𝐆𝐈𝟐𝐔 𝐒𝐈𝐑𝐈 𝟏 𝐓𝐀𝐇𝐔𝐍 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝟐𝟖 & 𝟐𝟗 𝐀𝐏𝐑𝐈𝐋 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐉𝐀𝐁𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐁𝐄𝐊𝐀𝐋𝐀𝐍 𝐀𝐈𝐑 (𝐋𝐀𝐁𝐔𝐀𝐍)
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), telah mengadakan Program Jelajah Psikologi2U Siri 1 Tahun 2026 di Pejabat Jabatan Bekalan Air (JBA), dan Loji Rawatan Air, Jalan Kolam, WP Labuan pada 28 hingga 29 April 2026. Program ini disertai seramai 70 orang pegawai dan kakitangan dari Jabatan Bekalan Air (JBA), WP Labuan.
Tujuan pelaksanaan inisiatif Program Jelajah Psikologi2U PETRA Tahun 2026 ini ialah untuk memaksimumkan penyampaian perkhidmatan psikologi kepada seluruh warga PETRA yang meliputi aspek penilaian personel, intervensi dan pembangunan personel. Sasaran utama pelaksanaan Program Jelajah Psikologi2U ini ialah untuk membuang stigma negatif dan memberikan naratif positif berkaitan perkhidmatan psikologi dan kaunseling kepada warga kerja PETRA. Melalui aktiviti – aktiviti yang dilaksanakan, program ini dijangka dapat meningkatkan kesejahteraan mental dengan membantu pegawai mengurus stress, perubahan set minda dan cabaran psikologi di tempat kerja. Ia juga merupakan suatu program sokongan kerjaya yang berterusan dengan kandungan program bersifat inklusif di mana modul yang disediakan relevan untuk semua peringkat perkhidmatan bermula daripada pegawai yang baru dilantik sehinggalah kepada mereka yang bakal bersara.
Diharapkan melalui pelaksanaan Program Jelajah Psikologi2U ini, para peserta dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan mental serta memperolehi pengetahuan dan kemahiran asas dalam mengurus emosi, tekanan dan kesejahteraan diri secara berkesan.