Perasmian Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau (RSTP) dan Rangkaian Paip Pembetungan di Kota Setar, Kedah

𝐌𝐀𝐉𝐋𝐈𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐒𝐌𝐈𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐍𝐘𝐄𝐑𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐏𝐑𝐎𝐉𝐄𝐊 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐈𝐍𝐀𝐀𝐍 𝐋𝐎𝐉𝐈 𝐑𝐀𝐖𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐊𝐔𝐌𝐁𝐀𝐇𝐀𝐍 𝐒𝐄𝐑𝐀𝐍𝐓𝐀𝐔 𝐃𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐀𝐈𝐏 𝐏𝐄𝐌𝐁𝐄𝐓𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐃𝐈 𝐊𝐎𝐓𝐀 𝐒𝐄𝐓𝐀𝐑, 𝐊𝐄𝐃𝐀𝐇 | 𝟏𝟓 𝐉𝐀𝐍𝐔𝐀𝐑𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐀𝐋𝐎𝐑 𝐒𝐄𝐓𝐀𝐑, 𝐊𝐄𝐃𝐀𝐇
YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) telah merasmikan Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau (RSTP) dan Rangkaian Paip Pembetungan di Kota Setar, Kedah. Projek berimpak tinggi bernilai RM238.8 juta ini merupakan loji rawatan kumbahan terbesar di Kedah dengan keupayaan merawat sehingga 100,000 Penduduk Setara (PE).
Pelaksanaan projek ini melibatkan langkah strategik rasionalisasi 24 loji rawatan sedia ada serta 16 sistem pembetungan premis kerajaan bagi mewujudkan pengurusan sanitasi yang lebih kolektif, cekap, dan kos efektif. Inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mampan Ke-6 (SDG6) serta mendukung teras Malaysia MADANI bagi menjamin kesejahteraan rakyat melalui infrastruktur yang moden dan mesra alam.
Operasi RSTP Kota Setar kini diserahkan kepada Indah Water Konsortium (IWK) dengan kawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memastikan piawaian operasi dan penyelenggaraan sentiasa berada pada tahap optimum.