Kunjungan Hormat Delegasi Perancis Ke Atas Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA)

𝐊𝐔𝐍𝐉𝐔𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐇𝐎𝐑𝐌𝐀𝐓 𝐃𝐄𝐋𝐄𝐆𝐀𝐒𝐈 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐍𝐂𝐈𝐒 𝐊𝐄 𝐀𝐓𝐀𝐒 𝐊𝐄𝐌𝐄𝐍𝐓𝐄𝐑𝐈𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐋𝐈𝐇𝐀𝐍 𝐓𝐄𝐍𝐀𝐆𝐀 𝐃𝐀𝐍 𝐓𝐑𝐀𝐍𝐒𝐅𝐎𝐑𝐌𝐀𝐒𝐈 𝐀𝐈𝐑 (𝐏𝐄𝐓𝐑𝐀) | 𝟖 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔 | 𝐏𝐀𝐑𝐋𝐈𝐌𝐄𝐍
YB Dato' Sri Haji Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), hari ini mewakili YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA bagi menerima kunjungan hormat daripada YB Nicolas Forissier, Menteri Perdagangan Luar dan Daya Tarikan Perancis, bersama delegasi beliau di Bangunan Parlimen Malaysia. Pertemuan strategik ini menjadi platform penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Perancis, terutamanya dalam memacu agenda peralihan tenaga yang lebih mampan.
Dalam sesi berkenaan, kedua-dua pihak telah bertukar pandangan mengenai pelbagai peluang kerjasama strategik yang meliputi sektor tenaga boleh baharu, hidrogen, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), teknologi grid pintar, serta pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS). Selain itu, perbincangan turut menyentuh aspek pembangunan tenaga nuklear awam secara bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada alternatif masa hadapan.
Selari dengan hasrat negara yang dipandu oleh Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), PETRA komited sepenuhnya untuk meneruskan agenda ini. Malaysia berharap agar kerjasama erat dengan Perancis ini akan membuka lebih banyak ruang dalam perkongsian teknologi, pelaburan pasaran, penyelidikan impak tinggi, serta pembangunan modal insan demi kesejahteraan ekonomi dan alam sekitar kedua-dua buah negara.