Berita Terkini
Majlis Peluncuran Portal MyEnergyStats dan Upacara Pertukaran Dokumen Pembekalan Tenaga Elektrik Hijau di Bawah Program CRESS
16 Januari 2025

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA menghadiri Majlis Peluncuran Portal MyEnergyStats di Hotel Le Meridien, Putrajaya pagi tadi bersama YB Tuan Haji Akmal Nasrullah Bin Mohd Nasir, Timbalan Menteri PETRA, YBhg. Dato’ Haji Mad Zaidi Bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha PETRA, YBhg. Dato’ Mohamad Razif bin Haji Abd Mubin, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) PETRA dan YBhg. Dato' Ir. Ts. Abdul Razib Bin Dawood, Chief Executive Officer Suruhanjaya Tenaga.
Portal MyEnergyStats adalah gerbang data terbuka sektor tenaga negara yang dibangunkan semula bagi menggantikan portal Malaysia Energy Information Hub (MEIH) yang telah beroperasi sejak tahun 2012. Seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan pengguna, portal ini telah dibangunkan semula untuk memastikan ia terus relevan, mesra pengguna, dan setaraf dengan portal antarabangsa seperti yang dibangunkan oleh International Energy Agency (IEA) dan International Renewable Agency (IRENA).
Portal baharu MyEnergyStats kini menawarkan ciri-ciri baharu seperti infografik, visual data, peta interaktif, serta keupayaan pengumpulan data yang lebih sistematik. Selain itu, aplikasi mudah alih MyEnergyStats kini boleh dimuat turun oleh pengguna iOS, Android, dan HarmonyOS, memberikan pengalaman pengguna yang lebih lancar dengan akses mudah di hujung jari.